Raya di kampung
Alhamdulillah tahun ini saya berkesempatan berhari raya di kampung. Tahun lepas di pagi raya saya ketika itu sedang bertugas di kaunter KFC Drive-Thru, Kajang. Suasananya sungguh berbeza sekali.
Pagi itu selepas solat sunat Aidil Fitri, kami sekeluarga memohon maaf kepada Ayah. Perasaan saya selepas itu amat sayu kerana tahun lepas saya tak sempat melakukannya. Saya melihat air mata ibu yang mengalir membuatkan hati saya sebak saat itu juga.
Kami kemudian mengambil gambar, seperti yang dilakukan pada tahun-tahun lepas. Gambar raya kami tahun ini tak cukup seorang ahli iaitu adik saya, Aidilia yang beraya di rumah suaminya di Sabah. Warna tema kami pula ialah merah-maroon.
Mak menghidangkan juadah raya untuk kami jamu bersama-sama. Ada ketupat nasi dan kelupis (kalau tak salah di Semenanjung ia dinamakan Ketupat Palas) serta kuah sate (kuah kacang) dan kari ayam. Di atas meja pula dihidangkan biskut, kekacang, manisan dan tak lupa kek yang menjadi amalan hari raya di Sarawak. Cuma tahun ini ibu tak membuat atau membeli kek lapis.
Selepas itu kami ke rumah Pak Ngah dan beraya di sana sehingga Zohor. Kami ke kubur bersama-sama selepas itu.
Sebelah petangnya pula keluarga kami ke Santubong untuk beraya dengan keluarga sebelah Ayah pula.
Semalam kami sekeluarga bersama-sama beraya di rumah adik Nenek di Jalan Pedidi, Astana. Selepas itu kami ke rumah tunang saya.
Hm, kalau nak ceritakan lebih terperinci tentang beraya di sini, ceritanya agak panjang jadi insya-Allah saya akan menceritakan di tempat yang lebih sesuai.
Buat semua warga eSastera, SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI DAN MAAF ZAHIR BATIN.
|