Sedikit Pengenalan
Alhamdulillah...
Setelah agak lama menanti kemunculan laman sawang Adabuna, akhirnya peluang dan tawaran tapak blog percuma oleh Dr Ir Wan Abu Bakar dimanfaatkan sepenuhnya. Terima kasih Drirwan!
Apa itu Adabuna? Sesahihnya, bukan saya yang layak memperkenalkan Adabuna kepada kalian. Insya-Allah selepas ini, pengasas Adabuna sendiri akan menulis...Doakan beliau diberikan ruang di celah-celah kesibukan beliau mengejar pak-pak menteri mendapatkan berita. :)
Adabuna adalah komuniti berasaskan yahoogroups yang terbina pada awal millenium baru ini, diasaskan oleh Al-Fadhil Al-Ustaz, Mohd Nazmi Yaakub, bertempat di Mesir. Komuniti ringkas ini menghimpunkan semua penulis Malaysia di Timur Tengah yang berfungsi menjadi tempat berkumpul, mencanai idea, dan membongkar semangat penulisan di kalangan mereka.
Bermula di bumi Kaherah, dan melebarkan sayapnya ke Jordan melalui penulis profilik Al-Fadhil Al-Ustaz Yazid...er..lebih dikenali sebagai Zaid Akhtar. Kini baru saja menambahkan cawangannya ke Syria dan Morocco hasil permukiman Ustazah Ummu Hani di Damsyik yang berjaya membikin bengkel penulisan di sana.
Apa Aktiviti Adabuna? Kerana Adabuna lahir sebagai komuniti berteraskan internet, maka aktivitinya lebih terarah kepada grup mailing list tadi. Namun Adabuna berjaya bekerjasama dengan Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) menganjurkan Bengkel Penulisan secara online pada Februari 2007. Insya-Allah, selepas ini, lebih banyak aktiviti akan menyusul.
Berapa Banyakkah Penerbitan Adabuna? Setakat ini, terdapat 2 buah tangan yang diterbitkan hasil kerjasama ahli-ahli komuniti Adabuna, iaitu:
1) Antologi Kota Khali Fustat yang diselenggarakan oleh Al-Fadhil Al-Ustaz A. Ubaidillah Alias pada tahun 2004.
2) Antologi Cinta & Rona Kinanah yang diselenggarakan oleh Saudara Mohd Zaki M. Noor pada Mei 2007. Masih hangat di pasaran!
Ahli-ahli Adabuna banyak terlibat dalam penerbitan karya di media massa sama ada di Timur Tengah sendiri dan di tanahair.
Siapa Yang Biasanya Menyertai Adabuna? Penyertaan ke dalam Adabuna terbuka kepada mereka yang mendapat pendidikan di Timur Tengah, dan minat dalam bidang penulisan serta mahu pergi lebih jauh dalam bidang ini.
----- Begitulah serba sedikit berkenaan Adabuna. Diharapkan sahabat-sahabat yang lain dapat menambahkan maklumat dan memperbetulkan sekiranya ada kesilapan fakta.
Yang benar,
Tandatangan tidak diperlukan
[@syraffdini al-urduni]
|